Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan
kepada makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali
makanan yang pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan
yang berkhasiat dan berguna untuk tumbesarannya, ada beberapa tip yang
boleh dikongsi bersama.
Setelah semakin membesar, tabiat pemakanan anak anda akan mula berubah.
Begitu juga dengan keperluan pemakanannya. Tahun-tahun awal ini adalah
waktu pesat untuk perkembangan fizikal dan mentalnya. Ini jugalah
masanya tubuh memerlukan lebih nutrien untuk memastikan tumbesaran
berjalan lancar. Ketika ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka
perlu memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut anak
benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk
kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh
untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu
membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan
Pengambilan Nutrien (Recommended Nutrient Intake -RNI) untuk
rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di antara satu hingga tiga
tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari manakala kanak-kanak
yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan sebanyak 23gm
protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapat
protein yang secukupnya.
Tip 2: Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk
penghasilan hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa
oksigen ke seluruh tubuh. Untuk pengetahuan, jumlah darah meningkat
sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab itulah
kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya. Zat besi boleh diperoleh
daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, legum dan
sayur-sayuran hijau seperti brokoli. Ketahuilah bahawa vitamin C yang
ada dalam buah-buahan sitrus boleh untuk membantu menyerap zat besi dari
sumber bukan daging.
Tip 3: Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam
buah-buahan, makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang
diketahui ramai, gula membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan
nutriennya. Jadi, pastikan anak anda tidak terlebih mengambil gula.
Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat dan
galakkan anak minum banyak air kosong.
Anda juga perlu mengehadkan pengambilan snek yang manis oleh anak.
Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga.
Antara makanan yang disarankan ialah seperti buah-buahan kerana
buah-buahan bukan hanya mengandungi gula tetapi juga kaya dengan
pelbagai jenis vitamin. Selain buah-buahan, karbohidrat kompleks pun
bagus untuk anak anda kerana berkanji dan berserat. Beri anak anda
banyak karbohidrat kompleks seperti nasi, mi, oat atau bijirin.
Tip 4: Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk
kanak-kanak dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi,
elakkan membeli makanan siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri
makanan untuk anak. Akan tetapi ketika menyediakan makanan untuk anak,
kurangkan penggunaan garam dan kalau boleh jangan masukkan garam ke
dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan bayi.
Tip 5: Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang
dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan
tubuh. Lemak mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis
mikro nutrien yang sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan
menjalankan fungsinya dengan sebaiknya. Akan tetapi, walaupun lemak
baik, anda masih perlu mengawal pengambilan lemak oleh anak. Terlalu
banyak makanan berlemak boleh memudaratkan. Oleh itu, pastikan makanan
yang diambil anak perlulah seimbang.
Ketika menyediakan makanan untuk anak, pilihlah bahan mentah yang
rendah lemak tepunya, rendah asid lemak dan rendah kolesterol. Walau
bagaimanapun, elakkan memberi anak makan makanan rendah lemak yang
diformulasikan untuk orang dewasa. Sebaliknya, pilihlah makanan yang
mengandungi lemak daripada sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan
tersebut kaya dengan Omega 3 dan Omega 6. Omega 3 boleh didapati
daripada telur, ikan laut dalam seperti salmon, ikan bilis dan tuna.
Tip 6: Tetapkan waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat kepada anak sejak mereka kecil lagi.
Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu makan dan bukan hanya apa
yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan. Kanak-kanak disarankan
mengambil 3 hidangan utama dan 2 hingga 3 hidangan snek sehari. Hal
ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal
dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti.
Ibu bapa disyorkan agar sentiasa membekalkan anak dengan snek yang
berkhasiat seperti buah-buahan, makanan tinggi serat dan bijirin agar
mereka dapat makan ketika lapar. Karbohidrat lengkap yang ada dalam
bijirin, makanan kaya serat dan buah-buahan mampu membuatkan perut anak
anda kenyang sementara menunggu waktu makan utamanya. Serat yang ada
dalam buah-buahan dan bijirin baik untuk sistem penghadaman kanak-kanak
dan membuatkan dia rasa kenyang untuk satu jangka masa yang panjang.
Tip 7: Makan bersama keluarga
Makan bersama keluarga adalah amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh
setiap keluarga yang ada di dunia ini. Inilah masanya untuk mengeratkan
hubungan seisi keluarga. Jadi, sediakanlah hidangan yang istimewa dan
pastinya makanan tersebut kaya dengan khasiat. Inilah juga masanya untuk
ibu bapa mengajar anak etika di meja makan dan tabiat pemakanan yang
baik.
Info tambahan:
Omega 6 ada dalam :
- Minyak kacang soya
- Minyak canola
- Biji labu
- Sayur-sayuran hijau
- Walnut